Tuesday, 12 June 2012

Antara Manusia & Beruk

Kes 1 : Kanak-Kanak Nyaris Maut Diserang BERUK


KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun nyaris maut diserang seekor beruk ketika pulang dari kelas tambahan di Bukit Payung, Marang, Sabtu lalu.  Dalam kejadian jam 5.30 petang, Muhammad Fathurrahaman Abd Salam tidak sempat melarikan diri apabila beruk peliharaan seorang penduduk di kampung berhampiran terlepas dan mengamuk serta mengejar hampir 30 kanak-kanak yang pulang dari pusat tuisyen berkenaan. Fathurrahaman hanya mampu meraung selepas beruk mempunyai taring tajam menggigit lengan kirinya sebelum diselamatkan guru tuisyen yang melarikan mangsa berlumuran darah dalam tandas berhampiran.

Bagaimanapun, tindakan guru menyelamatkan mangsa tidak bertahan lama apabila beruk yang masih mengganas di luar tandas kembali menyerang dan menggigit mangsa bersama gurunya ketika cuba keluar dari tandas berkenaan.
Ibu mangsa, Norliana Mohd Syamsu, 31, yang menetap di Kampung Rawai, Marang, ketika dihubungi berkata, anaknya cedera parah di bahagian lengan kiri dan kini dirawat di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Menurutnya, sebelum menjemput anaknya pulang dari pusat tuisyen, dia ada mendengar cerita dari penduduk kampung mengenai seorang kanak-kanak diserang beruk, tetapi tidak mengetahui yang menjadi mangsa anaknya sendiri.

Katanya, sebaik tiba di pusat tuisyen itu, dia melihat anggota Rela menembak mati seekor beruk sebelum terkejut melihat keadaan anak sulungnya berlumuran darah diserang beruk berkenaan. 

“Tanpa berlengah saya bergegas menghubungi suami dan membawa anak ke Klinik Bukit Payung mendapatkan rawatan sebelum diminta rujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Sementara itu, bapa Fathurrahaman, Abd Salam Mohamad, 31, yang menemani anaknya di HSNZ berkata, terdapat dua kesan luka sedalam 5.08 sentimeter dan 3.81 sentimeter di lengan kiri anaknya akibat gigitan beruk itu.




Kes 2 : Isteri Cedera Di Peha Digigit SUAMI

SUBANG JAYA: Gara-gara mahu memeriksa telefon bimbit suaminya, seorang wanita bukan saja cedera di paha akibat digigit, malah turut dicekik lelaki berkenaan dalam kejadian di rumah rakan mereka di Puchong Hartamas, Bukit Puchong, di sini, Jumaat lalu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut menyambung semula tindakannya di rumah sewa mereka di Taman Tasik Puchong dengan menampar dan menolak isterinya ke dinding sebelum rebah di lantai beberapa jam selepas kejadian pertama.

Dalam kejadian yang bermula di rumah rakan mereka kira-kira jam 11.30 pagi itu, wanita berusia 32 tahun itu dikatakan berselisih faham dengan suaminya sebelum bertindak merampas telefon bimbit suspek dan cuba memeriksa kandungan telefon berkenaan selepas mengesyaki lelaki itu menjalin hubungan sulit dengan rakannya sendiri.

Menurut sumber, ketika cuba mengambil semula telefon bimbit miliknya, suspek yang berusia 31 tahun itu terus menggigit tangan kiri isterinya, namun gagal menyebabkan suspek memukul badan dan menggigit paha kanan mangsa sebelum mencekiknya.

Katanya, lebih memalukan, kejadian berlaku di rumah rakan mereka yang turut disaksikan rakan lain.

Menurut sumber lagi, tidak cukup dengan itu, suami mangsa menyambung perbuatannya di rumah sewa mereka.
Katanya, dua rakan serumah mereka kemudian membantu mangsa dan menenangkan suspek sebelum membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.



Mimpi Rakyat : Kedua-dua berita dilaporkan oleh akhbar yang sama. Dalam kes pertama BERUK itu telah mendapat kesudahan apabila ditembak mati oleh anggota RELA & kes kedua si suami telah disiasat oleh polis kerana mendatangkan kecederaan. Berdasarkan kepada kedua-dua peristiwa tersebut, yang mana satu sebenarnya BERUK.

Dalam peribahasa melayu ada beberapa yang berkait dengan BERUK, contohnya;
1. Jangan berhakim dengan BERUK
2. Jangan sampai mahal tali dari BERUK
3. Macam BERUK dapat bunga
4. Macam BERUK kena belacan; dan lain-lain..




Thursday, 7 June 2012

Cicak Tokek Haram Di Makan dan Dijadikan Ubat


Majlis Fatwa Kebangsaan – Cicak Tokek Haram Di Makan dan Dijadikan Ubat

by yanmie on July 12, 2011
Salam, nampaknya Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun bersidang buat kali ke-95 pada 16 hingga 18 Jun lalu dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa Cicak Tokek Haram Untuk Di Makan dan Dijadikan Ubat.
cicak gergasi
Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay)
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay) . Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa para fuqaha’ telah mengklasifikasikan Cicak Gekko Geckko (Tokay) sebagai binatang yang haram dimakan kerana tergolong dalam kategori haiwan yang menjijikkan (khabis) dan mempunyai racun. Begitu juga dengan uruf masyarakat Islam di Malaysia yang tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang biasa dimakan. Selain itu, sehingga kini tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan bahawa Cicak Gekko Geckko (Tokay) mampu menjadi penawar atau mengubati penyakit-penyakit tertentu.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan Cicak Gekko Geckko (Tokay) adalah diharamkan oleh Islam. Manakala untuk tujuan perubatan, penggunaan Cicak Gekko Geckko (Tokay) diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan dari segi saintifik dan tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkaitan.
Sumber : e-Fatwa