Seperti biasa, tiap-tiap petang Pak Usu datang ke kedai kopi kampungnya untuk bercerita atau mendengar cerita. Dia sendiri tidak pernah peduli pukul berapa dia selalu pergi ke kedai itu, yang dia pasti hanya dia berada di kedai kopi itu tiap-tiap petang, jika tidak ada halangan atau jika tidak sakit. Tetapi bagi orang yang sudah lama memerhatikan kelakuannya, mereka tidak payah melihat jam lagi jika mereka melihat Pak Usu terpacul di kedai kopi: sudah pasti waktu itu antara pukul 5.45 atau 6.15 petang – jarang terlalu awal atau terlalu lewat. Dan bagi orang kampungnya, bila melihat dia sudah berada di kedai kopi itu, mereka terus memanggil teman atau jirannya: “Mari kita ke situ. Pak Usu sudah sampai. Apa pula mimpinya kali ini?”.
Kerana ceritanya hanya berkisar pada segala macam mimpinya yang aneh-aneh, maka Pak Usu dikenal dengan gelaran Pak Usu mimpi. Orang muda-muda tidak ingat dan tidak tahu bagaimana gelaran itu didapatnya, malahan kawan-kawan sebanyanya juga tidak berapa pasti lagi. Tetapi semua orang yang kenal dengan Pak Usu tahu bahwa dia adalah ahli mimpi yang ulung dikampungnya, malah barangkali diseluruh dunia.
Petang itu, seperti biasa, Pak Usu berada di kedai itu. “Awal, Pak Usu . Ada mimpi istimewa?” kata Mahmud tuan kedai, sambil melihat jam tangan usangnya.
Orang kampung yang ada tiga empat orang di dalam kedai itu memandang hairan kepada orang tua itu. Mereka mengagak tentu ada sesuatu yang aneh terjadi. Pak Usu sampai awal dari biasa.
“Pukul berapa sekarang” Tanya Pak Usu, menjawab pertanyaan Mahmud.
“Lima lima minit”, kata Mahmud. Jawapan itu sudah tersedia di bibirnya.
Pak Usu duduk. Termenung. Kelihatannya dia agak gelisah dari biasa.
“Kenapa, Pak Usu? Ayam dicuri orang lagi?” kata Mahmud sambiul meletakkan cawan kopi yang melimpah.
“Pelik sikit mimpi ku akhir-akhir ini,”kata Pak Usu ragu-ragu.
“Kan mimpi Pak Usu pelik. Ada yang lebih pelik?” Tanya seorang.
“Lain dari biasa,” jawab Pak Usu. “biasanya pelik saja,tapai kali ini lain sekali. Aku mula takut.”
“Lain bagaimana Pak Usu?” tanya Mahmud hairan. “Aku tidak mimpi naik ke langit atau masuk laut lagi,” kata Pak Usu seolah-olah kesal. “Aku sekarang mimpi jadi orang besar, orang kaya, dan….” Dia ragu-ragu hendak menyudahkan ucapannya.
“Dan apa lagi, Pak Usu,” Tanya jiran lain semakin berminat.
Pak Usu merenung kawan-kawannya, seakan-akan meminta perlindungan atau kepastian bahawa apa yang akan dikatakannya itu tidak salah.
“Apa yang lain itu, Pak Usu?” desak Mahmud.
“Semalam aku mimpi jadi menteri!”
Senyap sepi semua yang ada di dalam kedai kopi itu. Tetapi sesaat kemudian terledaklah ketawa terbahak-bahak yang riuh-rendah, hingga Mahmud sendiri terhinggut-hinggut bahunya.
(Bersambung.....)
Gambar Hiasan
No comments:
Post a Comment