Wednesday, 2 November 2011

MENTERI LEMBU???(Bahagian 3)

“Menteri Lembu?”  meletup pertanyaan dari mulut Mahmud, diiringi ketawa terbahak-bahak seluruh penghuni kedai kopi itu.
Pak Usu melihat dengan sedih  akan perlakuan kawan-kawan sekedai kpinya. Nyatalah mereka tidak mengerti  perasaannya, akan ketakutan dan kerisauannya. Dia hampa sekali melihat kawan-kawan sekedai kopinya mentertawakannya, padahal dia datang awal petang itu khusus untuk meminta pandangan mereka apa yang harus dibuatnya jika terjadi sesuatu hal dan yang paling penting, apa petuanya supaya dia tidak bermimpi lagi. Mimpi sudah mula menakutkannya.
“Bagaimana agaknya kementerian lembu itu, Pak Usu” ejak Mahmud dengan tertawa.
“Apakah kerja-kerja kementerian lembu, Pak Usu?” tanya yang lain.
“Gemuk-gemukkah lembu-lembu di kementerian Pak Usu?” sambut yang lain
“Pak Usus sendiri saja manusia, atau juga lembu? Bagaimana rasanya menjadi lembu dan menteri lembu? Seronok kerja-kerja dengan lembu itu?” celah seorang.
“Lembu jenis apa yang banyak Pak Usu? Lembu putih, hitam, balar…? Tanya yang lain pula.







Bertubi-tubi datangnya pertanyaan yang mengejak dan menyindir itu. Kecil hatinya, dan kesal pula kerana mempercayakan mimpinya yang tidak disangka-sangkanya mendapat sambutan yang begitu kejam. Tetapi dia berasa harus menceritakan mimpi-mimpinya yang benar itu dan sama ada, ada orang yang bersimpati dengannya atau tidak, dia perlu mendapat panduan. Pertama kali seumur hidupnya selama lebih dari enam puluh lima tahun itu, tidak pernah dia berasa segelisah itu. Mimpi menjadi darah dagingnya, dan mendengar mimpi juga menjadi darah daging dan sejarah hidup – katakanlah kebudayaan – sebahagian besar daripada orang kampung yang mengenalinya.

Hampir semua orang kampungnya, besar kecil tua atau muda, sudah pernah mendengar mimpinya. Tetapi mimpi yang diceritakannya dulu-dulu semuanya aneh-aneh, yang tidak mungkin dapat dialami dalam kehidupan nyata. Dia belum pernah menceritakan mimpi sebenarnya, yang sudah disimpannya berpuluh-puluh tahun. Hanya hari itu, hari yang begitu biasa dalam kehidupannya- kembali dari sawah pukul lima setengah, mandi dan sembahyang, berehat (dengan mencerikan mimpinya di kedai kopi), kemudian balik kerumah untuk sembahyang maghrib dan baring-baring di pondoknya menanti waktu isyak, lepas sembahyang isyak dia tidur, untuk bangun subuh-subuh pagi esok, bekerja kemudian mengisahkan mimpinya lagi- hanya baru hari itu, dia membuat keputusan nekad untuk menceritakan mimpinya yang sebenar….

“selama ini aku menceritakan kepada kamu mimpi yang palsu,” kata Pak Usu dengan suara yang gagah dan yakin, dalam nada yang meinta dipercayai dan diberi perhatian. Para pendengarnya menunggu dengan kelipan mata dan nafas yang berkocak. Semakin aneh dirasakan mereka kerana Pak Usu kelihatan begitu bersungguh-sungguh memberitahu perkara itu, seolah-olah satu rahsia besar yang maha penting – padahal bagi mereka setiap mimpi semuanya karut dan palsu.
Appandi Hassan 13.7.78

No comments:

Post a Comment