Tun Dr Mahathir
Mohamad (gambar) menasihati pemimpin Umno supaya tidak memegang kuasa terlalu
lama bagi mengelakkan parti Melayu terbesar itu dipenuhi dengan lebih ramai
“orang bodoh”. Bekas Perdana Menteri
paling lama berkhidmat itu berkata, seseorang pemimpin perlu mengetahui had
masanya semasa berkuasa.
"Pemimpin perlu tahu
hadnya, jangan terlalu lama memegang kuasa. "Sebaliknya akan
berlaku, kamu (parti) akan mempunyai lebih ramai orang bodoh dalam parti,"
kata Dr Mahathir dalam satu majlis di International Youth Centre (IYC) hari
ini.
Beliau berkata, pemimpin
Umno perlu bersikap terbuka untuk menerima mereka yang lebih bijak daripada
mereka untuk menjadi pemimpin, bukannya mengamalkan sikap suka mencantas. "Pemimpin yang teruk
adalah apabila mereka menyekat pemimpin yang lebih pandai kerana takut
tergugat," katanya.
Dr Mahathir menegaskan
sekiranya seseorang pemimpin tersebut memberikan laluan bukan bermakna beliau
lemah sebaliknya orang ramai akan lebih menghargainya."Setiap orang perlu
menghormati masa mereka, tiba masanya untuk memberi laluan kepada orang lain.
"Sekiranya kamu
bersara lebih awal, orang ramai akan lebih menghargai kamu," katanya lagi.Menyentuh mengenai penamaan
calon pemilihan Umno baru-baru ini, Dr Mahathir menyifatkan ia suatu petanda
sihat berlaku dalam parti tersebut."Saya jangka ramai
yang akan bertanding tapi ramai juga yang menarik diri."Tapi saya lihat ini
sebagai satu petanda sihat, jika tidak ia pasti buruk untuk parti kerana orang
akan mempersoalkan transformasi yang diperkatakan," ujarnya lagi.
Dr Mahathir juga menegaskan
jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang tiada pertandingan adalah
suatu yang baik bagi mengelakkan perpecahan berlaku.Dalam pemilihan parti kali
ini, Dr Mahathir juga mengesyorkan perwakilan Umno supaya memilih pemimpin yang
mempunyai bakat dan potensi, bukannya kerana pengaruhnya."Saya harap pada
pemilihan kali ini, perwakilan memilih pemimpin yang mempunyai potensi dan berbakat,
bukan kerana pengaruhnya," tegas beliau lagi.
Bekas presiden Umno itu
sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Umno sebagai
“sudah tua dan bakal mati”.Katanya, dengan pemimpin
muda, Umno akan dapat meneruskan legasinya memerintah negara ini meskipun ada
pihak yang memandang serong malah menuduh dirinya mempunyai agenda sendiri.
Katanya, Umno dahulu
sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan
Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.Ketika penggal
kepimpinannya dari 1981 sehingga 2003, beliau berjaya membawa pembangunan
melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan dari kejayaan negara-negara
luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara
yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga pernah dinamakan sebagai salah
sebuah negara "Harimau Ekonomi Asia". - 25 September, 2013.
No comments:
Post a Comment