Saturday, 26 April 2014

cinta

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CINTA ITU INDAH

Cinta itu fitrah insani. Cinta itu anugerah Ilahi. Cinta itu sesuatu yang tidak nampak pada lahiriah tetapi hangat terkesan pada batiniah. Masya Allah, Tabarakallah indahnya cinta. Bukti kewujudan Allah. Dengan cinta itulah kita kenal Pencipta Cinta, dengan cinta itulah kita kenal Rasul tercinta, dengan cinta itulah kita bersaudara dan dengan cinta itulah wujudnya bahagia.

PENCERAHAN :
Cinta kepada Allah itulah cinta yang utama. Jagalah cinta pada-Nya, nescaya akan beroleh cinta sesama insan.
“Tali iman yang paling kuat adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.” (HR : At-Tirmidzi)

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسَِ

“Akan ditimpa kehinaan ke atas mereka itu di mana saja mereka berada melainkan menghubungkan diri dengan Allah dan menghubungkan diri sesama manusia.”
(QS. Ali Imran: 112)

Cintailah Allah sebelum kita belajar untuk mencintai hamba Allah. Selami hati, selami jiwa, dimana kita letakkan Allah dihati kita? Di mana Dia dihati kita? Sering kita terlupa Allah tika kita senang dan bergembira. Rasa cinta kepada manusia itu akan hadir tanpa dipaksa. Rasa cinta kepada manusia itu akan wujud tanpa diminta. Rasa cinta kepada manusia itu adalah kebahagiaan yang Allah beri pada kita. Namun, cintailah mereka kerana cinta kepada Pencipta Cinta.

Usah ditagih kasih yang tak pasti, usah diharap cinta insani, jika cinta kepada Allah sering kita nodai. Munajatlah sang pencinta, berdoalah pada-Nya, meminta yang terbaik daripada-Nya, merayulah keampunan-Nya, mohonlah cinta-Nya.

Sekiranya, kita cintakan manusia, tak semestinya manusia cinta kepada kita, Tetapi sekiranya, kita cinta kepada-Nya, nescaya cinta Allah tiada penghujungnya. Sekiranya, kita cinta kepada manusia, kita akan cemburu kepada orang yang mencintai orang yang kita cintai, Tetapi sekiranya, kita cinta kepada Allah, kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cintanya kepada Allah.

Ya Allah, andainya dia adalah jodoh yang telah ditetapkan oleh-Mu kepadaku, (untuk yang pertama, ke 2, 3 atau yang ke 4) Maka, campakkanlah di dalam hatiku, cinta kepadanya adalah kerana-Mu, dan campakkanlah ke dalam hatinya, cinta kepadaku adalah kerana-Mu. Namun, andainya dia memang bukan jodoh yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku, berikanlah aku kekuatan untuk melupakannya, buangkan rasa cintaku padanya dan rasa cintanya kepadaku.

Rasulullah s.a.w berpesan:
“Cintailah orang yang kamu cintai sewajarnya kerana boleh jadi suatu hari kelak dia menjadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu dengan sewajarnya, kerana boleh jadi suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai” (HR : Abu Daud, Al-tirmizi dan Ibn Majah)

Sabda baginda lagi:
“Masih belum sempurna iman seseorang daripada kalian, sebelum diriku lebih dicintai olehnya daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia." (HR : An-Nasai’)

Adakah kecintaan kita kepada Allah dan Rasul sudah melebihi kecintaan kita kepada manusia, kepada harta, kepada kemewahan dunia? Tepuk dahi, fikir sendiri… Cinta yang bertandang di lubuk hati itu fitrah. Namun apabila ia disusuli tindak-tanduk yang tidak di redhai Allah, ia akan bertukar menjadi fitnah yang membarah.

KESIMPULAN :
Ya Allah, berikanlah cinta-Mu kepadaku, dan jadikanlah aku mencintai orang yang mencintai-Mu, dan mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu.
Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini dicintai pada hati orang yang beriman, dan jadikanlah mereka menyintai orang yang beriman. Ya Allah, jadikan cinta kami saling melengkapi, jadikan cinta kami saling memerlukan, jadikan cinta kami saling mendamaikan. Salahkah aku untuk jatuh cinta kali yang kedua Ya Allah !!!

Wallahu a'lam .
Wassalam.

No comments:

Post a Comment